KUALA LUMPUR, 3 Mei – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pemimpin parti itu menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pembantu Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya berkongsi momen indah berkenaan di laman Facebook hari ini.
“Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” katanya pada hantaran tersebut.
Video pertemuan itu berserta komen ringkas daripada Abdul Hadi turut dikongsi di laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’.
“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia – tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.
“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” katanya.
Hadir sama dalam menandatangani proklamasi itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Difahamkan pertemuan itu berlangsung di kediaman Dr. Mahathir malam tadi.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Proklamasi Orang Melayu (Proklamasi), Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, pemimpin terbabit menyatakan komitmen serta sokongan parti PAS terhadap usaha Dr. Mahathir menerusi Proklamasi Orang Melayu.
“Tuan Guru juga sentiasa menyokong usaha Tun untuk menyatukan orang Melayu dan Islam ke arah kekuatan politik bangsa dan agama,” ujarnya ringkas.
Katanya, usaha tersebut akan diteruskan dan ramai lagi akan menyertai Proklamasi Tanah Air kerana agenda tersebut boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Ini kerana ia tidak terikat dengan mana-mana parti malah ia menggalakkan setiap orang Melayu yang kasihkan bangsa dan agamanya untuk turut serta.
Mahathir sebelum ini mahu menganjurkan himpunan ‘Proklamasi Orang Melayu’ namun mendakwa agenda itu disekat pihak kerajaan selepas empat kali pembatalan tempahan lokasi penganjurannya.
Proklamasi Orang Melayu merupakan suatu pengisytiharan berkaitan agenda dan perjuangan orang Melayu yang mengandungi 12 perkara berkaitan dengan cabaran dan masa depan orang Melayu ketika ini.
Proklamasi itu bertujuan mengangkat isu melibatkan kepentingan orang Melayu dan memberi kesedaran kepada mereka terhadap masalah yang akan timbul jika mereka tidak kembali kepada matlamat perjuangan bangsa.- nasionalkini.my