KUALA LUMPUR, 3 Mei – Isteri Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kes penganiayaan remaja Sindrom Down, Bella.
Menerusi hantaran di Facebook baginda bertitah bahawa kes penderaan kanak-kanak ini tidak sewajarnya berlaku lagi di masa akan datang.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada aktivis-aktivis #JusticeforBella, peguam lantikan Tunku Mahkota Johor, pasukan pendakwaan dan individu lain yang begitu prihatin akan tragedi yang berlaku terhadap Bella.
“Saya dan Tunku Mahkota Johor amat prihatin terhadap isu penderaan kanak-kanak dan berpandangan kes ini perlu diambil sebagai pengajaran oleh semua pihak serta berharap kes seumpama ini tidak berulang atau berlaku lagi,” titahnya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendapati bahawa tertuduh Siti Bainun Ahd Razali bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun atas tuduhan mengabaikan dan mendera Bella yang berusia 13 tahun sehingga menyebabkan remaja berkenaan mengalami kecederaan fizikal dan emosi yang serius.
Tahun lalu, baginda menerusi hantaran di InstaStory, menzahirkan rasa simpati terhadap nasib Bella dan berikrar akan membantu remaja orang kurang upaya (OKU) itu mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella.
“Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.
“Kamu boleh bersembunyi di sebalik tentera peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat,” katanya. – nasionalkini.my