Oleh Yusuf Shafie
AYER KEROH, 4 Julai – Padah menerima rasuah bulanan RM300 enam tahun lalu, seorang anggota polis trafik berpangkat koperal didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan keseluruhan berjumlah RM3,600.
Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Mohd Hanif Mohamad Zakri,37, atas pertuduhan pilihan.
Tertuduh yang juga penjual ikan juga berdepan penjara lapan bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu koperal polis di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin didakwa menerima untuk diri sendiri satu benda berharga iaitu wang RM3,600 tanpa balasan daripada seorang pengurus sebuah syarikat pengangkutan.
Tertuduh didakwa menerima bayaran itu melalui akaun Maybank miliknya dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Ayer Keroh, antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, pada tahun 2017 tertuduh menjalankan tugas respon masa kemalangan, bantuan mengiring, pejabat pertanyaan, kawalan lalu lintas dan penguatkuasaan undang-undang serta pencegahan.
Tertuduh kemudian telah menerima wang bulanan sebanyak RM300 untuk melindungi tiga buah lori milik pengurus terbabit daripada disaman polis trafik.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpal mengambil kira tertuduh adalah seorang anggota polis.
Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu denda ringan dengan alasan anak guamnya hanya menjual ikan sejak ditahan kerja selain perlu menanggung isteri, ibu, anak yang masih kecil dan adik-beradik yang masih belajar.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar. – nasionalkini.my