GOMBAK, 14 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan perpaduan akan menggunakan kuasa dan pengaruh yang ada untuk menjaga kepentingan rakyat.
Justeru kerajaan sekarang perlu diperkuatkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos ini.
Memetik Utusan Malaysia, Anwar berkata, terdapat agenda yang masih belum dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.
“Pada 29 Julai ini adalah (hari) penamaan calon, jadi saya harap kita perkuatkan kerajaan perpaduan untuk kita dapatkan jalan kerja (yang) baik untuk rakyat.
“Kita ada Menteri Besar yang baik (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kita ada Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Megat Zulkarnain Omardin). Kita kerjasama dengan BN sekarang.
“Jadi saya harap kita jangan lupa ada agenda yang belum kita laksanakan. Insya-allah kita gunakan kuasa dan pengaruh untuk menjaga kepentingan rakyat,” kata Anwar sebelum menjamu selera di Restoran Sri Ayu di Medan Selera Sri Gombak.
Anwar dilihat makan nasi putih berlauk sup tulang, ikan goreng dan beberapa juadah lain sambil beramah mesra dan berseloroh dengan pengunjung di kedai makan tersebut.
“Alhamdulilah dapat bersama-sama solat Jumaat di sini (dan) makan dahulu. Makan tidak mengapa, Menteri Besar (Amirudin) ada (beliau) boleh bayar.
“Kemudian santai sahaja, ini sudah menjadi acara mingguan saya iaitu makan di warung (selepas itu) solat Jumaat,” katanya. – nasionalkini.my