Oleh : Adnan Mohamad
SETIU, 17 Julai – Seorang petani bernasib baik apabila tidak berada di rumah ketika sebatang pokok besar tumbang menghempap rumahnya akibat ribut kencang yang melanda Kampung Teluk Tasik, Guntung, di sini, semalam.
Petani terbabit, Mat Ladin Saad, 42, terselamat dari bencana alam itu kerana ketika kejadian ribut pada pukul 8 malam itu dia sedang berada di rumah emak saudaranya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Kalaulah saya berada di rumah saya sendiri kemungkinan pokok yang tumbang itu akan menimpa ke atas diri saya. Namun, saya bersyukur sebelum kejadian ribut saya sudah pergi ke rumah emak saudara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian lain di kampung yang sama, seorang pesara tentera, Mohd Zain Wan Ahmad, 63, dan isterinya serta empat orang anak nyaris terkena beberapa keping atap yang diterbangkan oleh angin kencang itu
“Kami melihat beberapa keping atap melayang ditiup angin kencang dari bumbung beranda jatuh berhampiran dengan kami tetapi kami bersyukur terselamat.
“Kejadian ribut melanda ke kawasan rumah saya pada malam semalam berlaku sebanyak tiga kali. Awalnya ribut serta angin kencang berlaku dan selepas itu ribut kembali reda kemudian kira-kira satu minit ribut itu datang lagi,” ujarnya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) KampungTeluk Tasik, Zulkifli Ibrahim berkata, sebanyak tiga buah rumah termasuk rumah Mat Ladin dan pesara tentera itu mengalami kerosakan atap akibat ribut di kampung itu. – Nasionalkini.my