KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Orang ramai dinasihat tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pesawat milik pasukan keselamatan lain melakukan penerbangan rendah.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan, pesawat berkenaan akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah bermula esok sebagai persiapan bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.
“TUDM dipertanggungjawabkan bagi mengetuai acara dan persembahan segmen udara melibatkan pesawat khususnya milik TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Antara aset terbabit termasuk pesawat pejuang, pesawat pengangkut, helikopter dan aset-aset udara pasukan keselamatan lain.
“Pesawat-pesawat udara yang terbabit dalam acara gemilang sambutan di peringkat negara ini akan memulakan latihan penerbangan taktikal bermula esok hingga 31 Ogos ini,” katanya.
TUDM juga berkata, sepanjang latihan dijalankan pesawat berkenaan akan menjalankan penerbangan secara rendah di beberapa kawasan khususnya sekitar kawasan Putrajaya dan ruang udara negeri Selangor. – nasionalkini.my