KUALA LUMPUR 20 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penampilan istimewa menerusi sebuah iklan sempena kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.
Iklan terbitan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu mengisahkan tentang hidangan istimewa rakyat Malaysia yang menjadi hidangan wajib di hari lebaran iaitu lemang.
Menerusi klip video berdurasi dua minit 36 saat tersebut turut menunjukkan kaedah menyediakan lemang bermula dari proses awal hingga pembakaran.
Hidangan berkenaan merupakan makanan tradisional masyarakat Melayu, keunikannya yang terdiri daripada pelbagai bahan membawa simbolik terhadap kesatuan nasional yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Mengambil intipati falsafah sama yang terdapat dalam hidangan berkenaan, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu padu membangunkan Malaysia.
Beliau pada masa sama mengajak seluruh rakyat supaya bersatu dan membangunkan negara selain mengangkat martabat keluarga dan masyarakat.
“Mari kita kuatkan kesatuan rakyat Malaysia, membangunkan dan menyelamatkan negara di samping membersihkan diri bagi mengangkat martabat keluarga dan masyarakat.
“Salam Aidilfitri maaf zahir dan batin buat seluruh rakyat Malaysia,” kata pemimpin utama negara. – nasionalkini.my