KUALA LUMPUR – Selepas 35 tahun berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan, Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memainkan peranan penting ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 akan bersara wajib Jumaat ini.
Dr Noor Hisham yang dianggap ‘panglima perang’ KKM merupakan antara individu utama yang menyampaikan perkembangan terkini dan usaha kerajaan dalam memerangi penularan wabak itu dalam negara.
Beliau berkata, persaraannya akan memberi peluang kepada beliau untuk berehat seketika.
“Rehat dulu,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas mengimbas kad perakam waktu pada pukul 4.17 petang sebagai simbolik hari terakhir bertugas di KKM hari ini.
Beliau diiringi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan warga KKM yang turut hadir mengucapkan selamat bersara kepadanya.
“Alhamdulilah semua berjalan dengan lancar, COVID-19 pun dah berkurangan dan kita dapat mengawal dengan baik dan memang saya tertunggu-tunggu untuk bersara,” kata Dr Noor Hisham.
Dr Zaliha dalam satu hantaran di Facebook beliau merakamkan penghargaan kepada Dr Noor Hisham atas khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang 35 tahun berkhidmat di KKM.