KUANTAN, 25 April – Lebih 2,000 pengunjung teruja apabila dapat beraya di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang semalam selepas kali terakhir diadakan pada 2019.
Rata-rata pengunjung menzahirkan rasa gembira dan terharu kerana istana bukan lokasi yang boleh dikunjungi dengan sewenang-wenangnya.
Malah, sajian yang disediakan khas untuk tetamu adalah santapan istana seperti opor daging, arisa, puding raja, laksa Pahang dan kuih raya resepi eksklusif Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut seorang pengunjung, Mahathir Ali, 48, dia bersama isteri dan anak-anak cukup gembira kerana peluang berhari raya di istana pastinya berbeza dengan kunjungan beraya seperti kebiasaan.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat dengan diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta paduka-paduka anakanda.
Majlis sambutan Aidilfitri tersebut turut dihadiri barisan pentadbiran negeri Pahang, diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehhuddin Ishak dan ketua-ketua jabatan serta agensi di negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda juga berkenan menyantuni rakyat jelata termasuk 64 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah yang dijemput bagi memeriahkan majlis tersebut. – nasionalkini.my