Oleh Ahmad Abd Hamid
KATA orang ‘luka di tangan nampak darahnya. Luka di hati tidak tahu bisa atau parahnya’.
Tetapi ini kisah luka di tangan yang memang nampak darahnya. Bukan kerana bergaduh atau terkena pisau tetapi kerana berebut membeli tiket wayang!

Inilah pengalaman penulis dan rakan-rakan pada Hari Raya Aidilfitri. Kisah dalam tahun 60-an ketika penulis masih bersekolah rendah.
Setiap tahun pada hari raya ke dua, destinasi penulis dan sekumpulan rakan-rakan dari kampung Parit Serong, Bagan Datuk, Perak akan berlibur ke pekan Teluk Anson (Teluk Intan).
Tujuannya, untuk menonton wayang sambil berjalan-jalan. Jauhnya lebih kurang 25 batu atau 40 kilometer dari kampung kami. Perjalanan menaiki bas Lower Perak Motor Service (LPMS) degan tambang RM1.20 sen pergi balik atau return ticket. Bas ini menyediakan perkhidmatan antara Teluk Anson-Bagan Datuk.

Seperti dijanji, pukul lapan pagi semua siap berkumpul di kedai Kampung Sungai Haji Mohamad. Kampung ini di tepi jalan raya utama Bagan Datuk-Teluk Anson. Di sinilah tempat menunggu bas. Kami melantik seorang yang lebih dewasa, Jaafar, sebagai ketua kumpulan. Ahli kumpulan seramai 10 orang.
Perlu sampai awal ke jalan raya. Jika tidak sukar mendapat bas kerana penumpang sudah penuh dari pekan Bagan Datuk. Walau pun sampai pukul lapan lagi, belum tentu terus dapat bas. Bas tidak akan berhenti jika penuh. Kalau dapat naik pun berdiri.

Teluk Anson, bandar ketiga terbesar di negeri Perak, menjadi tumpuan kerana hanya di bandar itu ada panggung wayang (pawagam). Ia juga menjadi tumpuan orang rama dari tempat lain seperti Bidor dan Kampar. Memang sesak Teluk Anson pada hari raya.
Terdapat pawagam milik Shaw Brothers (SB) seperti Rex dan Capitol di Teluk Anson.
Petubuhan Cathay juga memilik pawagam Cathay. Pada hari raya Rex menayangkan cerita Melayu atau Indonesia. Pawagam Capitol pula menayangkan cerita Hindustan.

Pawagam Cathay juga menayangkan filem Melayu keluaran Cathay Keris. Jika tiada filem Melayu, filem Indonesia atau Hindustan ditayangkan. Apa pun filem, pawagam tetap penuh. Penulis dan rakan-rakan biasanya menonton sekurang-kurangnya dua filem, masing-masing di Rex dan Cathay.
Saat yang paling mencabar ialah ketika membeli tiket. Bagi kumpulan kami, tugas ini dilakukan oleh Jaafar. Sebelum kaunter dibuka, masing-masing sudah berasak-asak di hadapan kaunter. Seboleh-bolehnya semua mahu berdiri di depan kaunter sedangkan ruangnya kecil.

Kaunter tiket pula hanya petak kecil dipagari dinding dawai di sekeliling. Malah penjual tiket pun sukar dilihat. Terdapat satu lubang kecil di tengah dinding sekadar muat untuk pembeli menghulurkan wang dan menerima tiket.
Ada satu kertas carta tempat duduk bersama penjual tiket. Nombor kerusi yang ditulis oleh pada tiket, dicatat pada kertas carta.
Apabila carta habis dipangkah, ertinya tiket habis dijual. Kaunter ditutup. – nasionalkini.my