KUALA LUMPUR 25 April – Gamuda Bhd (Gamuda) mengumumkan perletakan jawatan Timbalan Pengarah Urusannya, Mohammed Rashdan Mohd Yusof berkuat kuasa, serta-merta, hari ini.
Peletakan jawatan itu adalah bagi membolehkan beliau meneruskan perkhidmatan kepada negara selepas dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Februari 2023.
Gamuda dalam kenyataan memaklumkan, Mohammed Rashdan mula menyertai Gamuda pada 1 Mei 2018 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan sebelum dilantik sebagai Pengarah Ganti kepada Pengarah Urusan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling pada 28 September 2018.
Manakala Datuk Ir Ha Tiing Tai akan terus kekal sebagai Timbalan Pengarah Urusan Gamuda, jawatan yang dipegangnya sejak 1 Jun 2012.
Mohammed Rashdan merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam penjualan konsesi lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) membabitkan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), Kesas Sdn Bhd (Kesas) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).
“Kumpulan mengucapkan tahniah kepada Mohammed Rashdan dalam peranan baharunya sebagai Pengerusi ST.
“Beliau juga memberi jaminan kepada Lembaga Pengarah bahawa terdapat pematuhan sepenuhnya semua peruntukan konflik kepentingan seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus diperhatikan dalam semua perbincangannya di Suruhanjaya Tenaga.
“Peletakan jawatannya ini daripada kumpulan adalah untuk menumpukan perhatian, tenaga dan usaha dalam menjalankan tugas negara,” katanya.
Terdahulu, ST mengumumkan pelantikan Mohammed Rashdan Mohd Yusof sebagai pengerusinya yang baharu menggantikan Datuk Azian Osman yang tamat perkhidmatannya.
Suruhanjaya juga memaklumkan pelantikan berkenaan atas persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mohammed Rashdan yang merupakan graduan Sarjana Ekonomi dengan kepujian (MA Hons, Cantab), University of Cambridge, berpengalaman luas dalam sektor ekonomi pengurusan syarikat,dan terbabit dalam penstrukturan semula korporat dan perbankan pelaburan.
Beliau pernah menjadi Pengarah Urusan di QuantePhi Sdn Bhd, selama enam tahun sebelum berkhidmat di Khazanah Nasional Berhad sebagai Pengarah Eksekutif Pelaburan selama dua tahun mulai 2010.
Malah, pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah di Maybank Investment Bank selama dua tahun mulai 2008. -nasionalkini.my