IPOH, 25 Mei – Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada hujung minggu ini Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan tema khutbah Jumaat esok akan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan berkenaan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak (MAIPK), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata khutbah Jumaat itu bertemakan ‘Kewartawanan : Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam’.
Katanya, Sultan Nazrin turut memperkenankan pengamal media diberi penghormatan membaca khutbah berkenaan di tiga masjid terpilih.
“Baginda turut memperkenankan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca Khutbah Jumaat di tiga masjid negeri terpilih esok.
“Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak telah mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak untuk mendapat tauliah membaca khutbah di tiga buah masjid di negeri Perak,” katanya.
Tiga masjid itu adalah Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II), Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh dan Masjid Muhibbudin Shah Ipoh.
Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.
Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini. -nasionalkini.my