KULAI, 17 Julai – Seorang pemandu lori maut selepas lori muatan sabun yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori simen di Kilometer 29 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.
BH melaporkan, Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Jamaluddin Jemat berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pihaknya pada jam 8.23 pagi.
“Kemalangan melibatkan lori muatan sabun tiga tan dengan sebuah lori simen 40 tan dan melibatkan tiga mangsa.
“Pemandu lori simen berusia 28 tahun cedera di kepala manakala pemandu lori sabun berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia. Sementara kelindan lori sabun berusia 22 tahun cedera dan tersepit.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – nasionalkini.my