MELAKA, 21 Julai – Pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Durian Daun di sini yang ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah tersebut, sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor.
Bernama melaporkan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pelajar yang berasal dari Muar itu juga perlu makan dua jenis ubat penenang bagi merawat penyakit yang dihidapinya.
“Selain itu, pelajar terbabit juga telah dikenakan perintah pemulihan akhlak selama dua tahun di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka iaitu di Bukit Baru tetapi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Durian Daun.
“Maklumat berkenaan diperoleh menerusi siasatan yang dijalankan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri sebaik kejadian berkenaan berlaku namun punca mangsa terjun masih belum diketahui tetapi mungkin dia mengalami halusinasi,” katanya.
Beliau berkata, jenazah pelajar terbabit telah diuruskan oleh pihak JPN dan asrama sebaik mungkin untuk dibawa dan dikebumikan di Tangkak, Johor hari ini.
Semalam, Nasional Kini kini melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 13 tahun ditemukan dalam keadaan kepalanya berlumuran darah di atas jalan. – nasionalkini.my