KUALA LUMPUR, 21 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput orang ramai untuk hadir ke Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya esok.
Dalam satu status di Facebooknya, Anwar berkata, majlis itu juga akan dihadiri Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad dan Penasihat Agama Presiden Mesir Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari.
“Esok saya akan menghadiri Majlis Perasmian dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya.
“Saya ingin menjemput warga Malaysia yang berkelapangan untuk hadir majlis ilmu ini. Semoga majlis ini akan memupuk semangat cintakan ilmu dan menyuburkan budaya, mengukuhkan tradisi ilmu Islam di Malaysia,” kata Anwar.
Majlis ilmu itu akan bermula jam 6 petang hingga 9 malam. – nasionalkini.my