KUANTAN 2 Mei – Seorang pegawai di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertugas di Angkasapuri, Kuala Lumpur dan pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di KM18 Jalan Lipis-Benta, Lipis petang tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.40 tengah hari itu, Mohd Zubairi Abdullah, 47, yang memandu kereta jenis Toyota Wish dan pemandu lori, Chang Kai Meng, 58, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Zubairi yang merupakan Penolong Pengarah Unit Saluran Berita RTM bersama empat anak dan seorang anak saudaranya dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke Benta untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dipandu Chang.

“Sejurus itu, lori dinaiki Chang bersama anak perempuannya turut dirempuh dari belakang oleh kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun, namun pemandu itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Azli berkata, bedah siasat kedua-dua mangsa akan dilakukan selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh manakala lima penumpang Toyota Wish dan kelindan lori tersebut dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mengucap takziah kepada kepada keluarga Mohd Zubairi yang meninggal dunia dalam kemalangan hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini, Fahmi berkata, beliau sedih dengan apa yang berlaku dan mendoakan supaya arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Amat sedih mendapat khabar pemergian Penolong Pengarah Unit Saluran Berita RTM, Allahyarham Mohd Zubairy Abdullah. Allahyarham meninggal dalam kemalangan di Jalan Lipis-Benta menghala ke Kuala Lumpur.
“Saya doakan segala dosa Allahyarham diampuni, dan rohnya nanti ditempatkan dalam kalangan solihin. Takziah buat keluarga dan kenalan Allahyarham, al-Fatihah,” katanya. – nasionalkini.my