Oleh Yusuf Shafie
MELAKA 2 Mei – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik menerajui Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menggantikan presiden sebelum ini Datuk Nur Azmi Ahmad.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pelantikan itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma Mafa yang pengerusikan pagi semalam.
Menurutnya, mengikut Perlembagaan MAFA, Ketua Menteri Melaka yang baharu dilantik menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.
“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan menerajui persatuan dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka.
“Semoga dengan sentuhan Ab Rauf akan terus membawa bola sepak Melaka ke tahap lebih membanggakan demi meletakkan nama Melaka gah pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, jawatankuasa MAFA merakamkan ribuan terima kasih kepada bekas Presiden, Nur Azmi yang memimpin persatuan sejak Ogos 2022 dan mencurahkan jasa dan bakti kepada bola sepak Melaka.
“Antaranya penubuhan kelab bola sepak Melaka FC yang kini sedang bersaing dalam Liga M3 di samping penganjuran Kejohanan Piala TYT Melaka (Governor Cup) dan pembangunan akar umbi.
“Segala jasa dan sumbangan beliau kepada bola sepak Melaka akan terus diabadikan dalam lipatan bola sepak Melaka sebagai salah seorang presiden persatuan yang kini hampir meninjak ke usia satu abad penubuhannya pada 1924,” katanya. – nasionalkini.my