in ,

Pegawai, anggota polis terima suapan direman

IMG 20230506 WA0008
Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Temerloh untuk direman hari ini

Oleh Arman Dhani Zafir

TEMERLOH, 6 Mei – Enam polis termasuk seorang berpangkat inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut direman enam hari mulai hari ini kerana disyakki menerima suapan RM5,000.

Suapan itu sebagai balasan menyelesaikan kes rampasan air ketum.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman selepas meneliti permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kamarnya hari ini.

Difahamkan, pegawai dan anggota polis terbabit ditahan SPRM petang semalam susulan laporan dibuat seorang lelaki.

Pengadu mendakwa menyerah wang suapan itu kepada seorang lelaki sebagai imbuhan menyelesaikan kes serbuan dan rampasan air ketum pada 3 Mei lalu.

Semua suspek berusia antara 28 dan 48 tahun ditahan di beberapa lokasi di sekitar Jerantut petang semalam.

Suspek kini ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Temerloh untuk siasatan lanjut.

Difahamkan inspektor polis ditahan itu berusia 36 tahun dan lima anggota lagi termasuk seorang berpangkat sarjan mejar, dua koperal dan dua lans koperal.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. – nasionalkini.my

IMG 20230506 WA0005

Fahmi nafi terlibat skim pelaburan saham

bank negara malaysia

OPR: Anwar Ibrahim, Rafizi tolong jelaskan kepada rakyat