Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 5 Mei – Seorang pekerja pusat mencuci kenderaan mengaku bersalah di Mahkamah Khas Trafik Kuantan, hari ini, atas pertuduhan menunggang motosikal sambil melakukan aksi ‘wheelie’ yang berbahaya bersama kekasihnya di Jalan Chendor, menghala ke Kemaman, Terengganu, pada 12 Mac lalu.
Kekasihnya pula mengaku salah di mahkamah sama atas pertuduhan sebagai pembonceng dan membantu melakukan aksi itu.
Kedua-dua mereka yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.
Remaja lelaki terbabit didakwa sebagai penunggang motosikal jenis Honda EX5 warna putih atas jalan tersebut dengan cara mengangkat tayar hadapan dari jalan Chendor menghala ke arah Kemaman.
Sementara itu, kekasihnya yang masih bersekolah turut didakwa sebagai pembonceng dalam aksi sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua tertuduh di Jalan Chendor menghala ke Kemaman, jam 5.30 petang, pada 12 Mac lalu.
Pasangan remaja itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM15,000.
Selain itu, lesen memandu tertuduh juga boleh digantung oleh mahkamah dan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.
Jika sabitan kedua dan seterusnya, hilang kelayakan selama 10 tahun.
Sebelum itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nafizah Ismail menawarkan ikat jamin RM2,000 untuk setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela meminta jaminan dikurangkan atas alasan ahli keluarga mereka tidak berkemampuan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM800 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 7 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak.
Pada Ahad lalu, video pasangan itu melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Chendor menghala ke Kemaman yang berdurasi 54 saat tular di laman sosial.
Kedua remaja berusia 17 tahun itu kemudiannya ditahan pihak polis di hadapan rumah lelaki terbabit di Kampung Balok, dekat sini, sehari selepas video itu tular. – nasionalkini.my