Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 5 Mei – Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pesara, Februari lalu.
Tertuduh Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, menunduk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang telah dituduh didapati telah melakukan bunuh menyebabkan kematian seorang lelaki, Sa’adon Sahat, 57.
Kesalahan itu dilakukan di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, di sini antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, 27 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikanbTimbalan Pendakwa Raya J Banusha manakala tertuduh diwakili peguam, R Ryshinah.
Majistret Nabilah kemudian menetapkan 22 Jun ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 2 petang 28 Februari lalu selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa akibat dirempuh seorang pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi hari sebelumnya. – nasionalkini.my