in

Dagangan Malaysia susut 14.5 peratus kepada RM198 bilion pada April – MITI

WhatsApp Image 2023 05 19 at 2.04.40 PM
Prestasi eksport dan import turut mencatat penurunan pada April 2023. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mei –  Jumlah perdagangan Malaysia susut 14.5 peratus kepada RM198 bilion pada April 2023 sejajar dengan permintaan global yang perlahan, demikian menurut Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI).

Penurunan itu seiring dengan prestasi negara serantau lain yang turut mencatatkan pertumbuhan negatif pada bulan lalu.

Ia menyaksikan eksport pada bulan berkenaan merosot 17.4 peratus kepada RM105.42 bilion, manakala import berkurang sebanyak 11.1 peratus kepada RM92.58 bilion.

“Berbanding Mac 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan negara masing masing merekodkan penurunan sebanyak 14.9 peratus, 18.7 peratus, 10.1 peratus dan 51.9 peratus.

“Namun, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-36 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, dengan nilai RM12.85 bilion pada April 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada April 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.2 peratus atau RM90.89 bilion daripada jumlah eksport menyusut 15.5 peratus tahun ke tahun, disebabkan penurunan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia.

Bagaimanapun, eksport keluaran petroleum mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 20.8 peratus, mengekalkan pertumbuhan positif sejak Mei 2022.

Eksport keluaran pertanian pula bernilai RM7.21 bilion, susut 29.2 peratus berbanding April 2022 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Data MITI turut menunjukkan eksport hasil galian berjumlah RM6.63 bilion, menurun 28.9 peratus tahun ke tahun berikutan eksport petroleum mentah yang lebih rendah.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 16.6 peratus, 36.4 peratus dan 23.4 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga April 2023, eksport barangan perkilangan merosot 2.3 peratus kepada RM390 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu

Ia disebabkan penurunan eksport barangan perkilangan logam, keluaran getah, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Menurut MITI, perdagangan dengan ASEAN pada April 2023 mewakili 26.9 peratus atau RM53.28 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, susut 12 peratus tahun ke tahun.

Eksport menurun 11.4 peratus kepada RM30.89 bilion, berikutan pengurangan eksport kimia dan bahan kimia, petroleum mentah serta barangan E&E. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 19 at 1.32.01 PM

MOT laksana tiga laluan kontra elak kesesakan

WhatsApp Image 2023 05 19 at 2.40.29 PM

Suami isteri nafi cedera anak tiri dengan parang, tukul besi