Kuala Lumpur, 18 April – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan dana zakat lebih RM76 juta kepada asnaf menerusi pelbagai program dan inisiatif sepanjang Ramadan tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, ia adalah pendekatan dilakukan MAIWP untuk memberi satu manifestasi kepada pembayar zakat bahawa wang mereka digunakan dengan sebaik mungkin.
“Ini untuk memberi sentuhan terakhir sepanjang bulan Ramadan supaya masyarakat merasai keberkatan dan kemanisan wang zakat yang disumbangkan kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.
“Kita teruskan membayar baki sumbangan RM1,000 kepada semua penerima bulanan MAIWP iaitu semua ketua keluarga asnaf di Kuala Lumpur,” katanya pada Majlis Iftar Perdana dan Sumbangan Aidilfitri di Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, MAIWP menyantuni seramai 278 anak-anak asnaf daripada Darul Kifayah dengan memberi ‘duit raya’ sebanyak RM300 setiap seorang berjumlah keseluruhan kira-kira RM90,000.
Mohd. Daud berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada bantuan Aidilfitri yang MAIWP luluskan iaitu sebanyak lebih RM31 juta. – nasionalkini.my