KHARTOUM, 18 April – Angka kematian dalam pertempuran antara pihak tentera an Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di Sudan kini hampir mencecah 200 orang manakala lebih 1,800 dilaporkan cedera.
Memetik laporan AFP, pertempuran dahsyat itu memusnahkan fasiliti awam negara termasuk hospital sekali gus menyebabkan misi menghantar bantuan perubatan kepada mangsa terganggu.
Bagaimanapun operasi merawat masih diteruskan dengan memindahkan pesakit di bangunan yang selamat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa beberapa hospital di Khartoum yang merawat orang awam yang cedera kehabisan bekalan darah, peralatan pemindahan darah, cecair intravena dan bekalan penting lain’.
Ketua misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Sudan, Volker Perthes, memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sekurang-kurangnya 185 orang terbunuh dan 1,800 lagi cedera.
Terdahulu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres sekali lagi menggesa pihak yang berperang di Sudan untuk ‘segera menghentikan permusuhan’.
Beliau memberi amaran bahawa pertempuran selanjutnya ‘boleh memusnahkan negara dan rantau ini’.
Keadaan yang semakin tegang di ibu negara kini disifatkan sukar dikawal, malah Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Sudan dilaporkan diserang di kediaman, semalam.
Dalam pada itu, Diplomat tertinggi Kesatuan EU, Josep Borrell berkata, keselamatan premis dan kakitangan diplomatik adalah tanggungjawab utama pihak berkuasa Sudan dan menjadi kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.
Manakala penduduk berada ketakutan menghabiskan hari-hari terakhir bulan Ramadan dengan terkurung di rumah, melihat dari tingkap kereta kebal berada jalanan, bangunan bergegar, dan asap kebakaran yang dicetuskan oleh pertempuran.
Konflik itu menyaksikan serangan udara, artileri dan tembakan senjata berat.
Pada masa sama, penduduk terpaksa keluar untuk mendapatkan bekalan roti dan petrol di kedai yang masih dibuka, selain berdepan gangguan bekalan elektrik.
Di Darfur, pertubuhan bantuan perubatan antarabangsa, ‘Doctors Without Borders (MSF)’ melaporkan menerima 136 pesakit yang cedera di satu-satunya hospital di El Fasher yang masih beroperasi di negeri Darfur Utara.
“Menurut Cyrus Paye dari MSF, majoriti yang cedera adalah orang awam terperangkap dalam tembak menembak, sebahagian besarnya kanak-kanak.
“Disebabkan kapasiti pembedahan yang terhad, 11 orang meninggal dunia akibat kecederaan mereka dalam 48 jam pertama konflik,” katanya. – AFP