Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 10 Julai – Dua anggota bomba mengalami sesak nafas ketika memadam kebakaran Madrasah Tahfiz Baitil Hamdi, di Kampung Tabong Naning, di sini tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Zamri Omar berkata, keadaan kedua-dua anggota itu bagaimanapun stabil selepas menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
“Operasi pemadaman berjalan lancar kecuali terdapat dua anggota bomba mengalami sesak nafas ketika memadam api namun tidak mengalami kecederaan serius dan stabil selepas diberikan rawatan.
“Semua 10 pelajar lelaki madrasah tahfiz itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan kerana kebakaran berlaku di blok kelas,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Mohd Zamri berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.45 tengah hari sebelum seramai 18 anggota bergegas ke lokasi dan mendapati api sedang marak.
“Semasa kejadian, semua pelajar berusia 9 hingga 20 tahun sedang berada di bangunan asrama manakala kebakaran dipercayai berpunca dari ruangan kelas.
“Kebakaran menyebabkan kira-kira 45 peratus bangunan rosak namun punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – nasionalkini.my.