Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 6 Jun – Lebih 20,000 ahli persatuan pemilik kedai kopi di negara ini menolak pembentangan dasar generasi penamat (GEG) di Dewan Rakyat kali ini.
Mereka yang terdiri daripada 43 persatuan menaungi Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) di negara ini menyifatkan RUU itu juga masih belum ‘matang’ untuk dikuatkuasakan.
“Kami melihat masih banyak perkara perlu diteliti semula, agar ianya tidak mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan kerana kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengurangkan kelaziman merokok.
“Larangan merokok untuk generasi baharu tidak akan menyelesaikan masalah ini, sebaliknya pendekatan yang lebih seimbang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah di masa hadapan,”kata Setiausahanya, Datuk Tan Chnan Yeang.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengemukakan bantahan RUU GEG di Kota Laksamana di sini hari ini. Turut hadir Presiden MSCSPGA Wong Teu Hoon.
Menurut Chnan Yeang lagi, langkah kerajaan menguatkuasakan larangan merokok bagi mereka yang lahir selepas 2007 juga dilihat akan memburukkan lagi masalah perdagangan rokok seludup di negara ini apabila mereka beralih kepada rokok seludup.
“Ini pastinya akan menjejaskan pendapatan dan kutipan cukai kepada negara di saat dunia kini sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“ MSCSPGA pada dasarnya menyokong agenda kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di Malaysia namun satu kajian dan perundingan yang komprehensif harus diadakan dengan pihak berkepentingan sebelum RUU ini dikuatkuasakan,” katanya.
Tambahnya, persatuan terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menambah baik RUU dan menggesa KKM dan Ahli Parlimen untuk mengambil pandangan kami dan tidak membuat sebarang keputusan tergesa-gesa dalam meluluskan dasar yang masih belum diuji. – nasionalkini.my