Yusuf Shafie
MELAKA, 11 Julai – Laporan penuh Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa Disember tahun lalu sudah lengkap.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan laporan itu dan hanya menunggu agensi lain melengkapkan laporan mereka.
“Bagaimanapun laporan ini belum dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri kerana kita masih menunggu, ulasan dan pandangan daripada kementerian dan agensi lain yang berkenaan.
“Tragedi Batang Kali itu dalam kategeori jalan kerajaan negeri jadi apa pun kena tunggu laporan daripada kerajaan Selangor,” katanya padasidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.
Pada 4 Jun lalu, kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh di Batang Kali, yang berlaku 16 Disember tahun lalu, menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.
Mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan walaupun kejadian sudah enam bulan berlalu.
Tragedi pada kira-kira jam 2.30 pagi 16 Disember itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 31 terkorban, manakala 61 terselamat ketika semua mangsa berada di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali. – nasionalkini.my