MARANG, 11 Julai – Majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya enggan membenarkan pekerja mereka keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, majikan boleh dikenakan didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Bagi pekerja yang mengundi di luar kawasan maka majikan diminta membenarkan pekerja mereka mengambil cuti tahunan.
“Semua majikan perlu patuh dan benarkan pekerja mereka pulang untuk turun mengundi. Sekiranya ada majikan tak benarkan, pekerja boleh buat aduan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu dan tindakan segera akan diambil pada majikan terbabit.
“Jadi saya nasihatkan majikan di negara ini supaya patuh akta ditetapkan selain benarkan pekerja-pekerja mereka pulang mengundi pada PRN tidak lama lagi diadakan,” katanya kepada pemberita selepas program Sesi Libat Urus Tripartite 2023 Zon Timur di sini hari ini.
Hari pengundian bagi PRN enam negeri (PRN) akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini. – nasionalkini.my