GEORGE TOWN, 16 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan penyertaan seramai 46,000 usahawan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Jualan Agro Madani pada tahun ini
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain itu pihaknya turut menyasarkan pelaksanaan jualan di 5,000 lokasi di seluruh negara melibatkan nilai jualan sebanyak RM39 juta.
Memetik laporan Sinar Harian, Mohamad berkata, ia susulan kejayaan program itu yang mencatat nilai jualan RM17.7 juta setelah diadakan di 643 lokasi hingga 9 Julai lepas melibatkan 10,143 usahawan dan memberi nilai penjimatan RM5.3 juta kepada 1.28 juta isi rumah.
“Pelaksanaan Jualan Agro Madani ini dilihat sebagai antara program ‘quick win’ KPKM dalam membantu pengeluar memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna dan pada masa sama dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam komponen makanan melalui harga penjimatan yang ditawarkan,” katanya.
Mohamad berkata, fokus Jualan Agro Madani di seluruh negara pada tahun ini adalah untuk menjamin ketersediaan bekalan agromakanan dan memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan bekalan agromakanan pada harga yang berpatutan. – nasionalkini.my