Oleh Aqeelah Amzar
“Alahai comelnya koci ni, sayang nak makan,” salah seorang pelanggan hampir terjerit bila melihat bungkusan koci sejuk beku yang diterimanya.
“Selalu saya diberitahu begitu yang pelanggan rasa ‘sayang’ mahu menjamahnya.
Alasannya rupa dan bentuknya seperti watak kartun hello kitty yang popular. Ini versi yang telah diubahsuai sebab koci ni lebih kepada kuih moci inti kacang merah, sejenis makanan sejuk beku yang perlu dikukus dahulu untuk dimakan,” ujar Dalila Diana Zainal Abidin ketika dihubungi nasionalKini, baru-baru ini.
Gara-gara bentuk kocinya yang comel, media sosial milik nyamenjadi tular berikutan kreativitinya meminjam rekaan kartun terkenal itu dan disukai ramai.
Bentuk koci moci Diana memang comel dengan warna-warna menarik seperti gabungan warna putih merah, biru dan merah jambu.
Wanita cntik kelahiran dari Kota Bharu Kelantan tetapi kini menetap di Temerloh , Pahang mengakui idea tercetus untuk dirinya memilih rekaan koci ke bentuk Hello Kitty kerana hobinya terhadap figura kartun tersebut.
“Memang saya agak fanatik dengan Hello Kitty malah saya mengumpul koleksi barangannya malah saya turut mendekorasi beberapa bahagian rumah dengan hiasan yang sama. Rasa seronok dan gembira kerana warna-warna ceria itu menghidupkan jiwa,” ujarnya riang.
Malah, akuinya mereka bentuk kuih-muih kepada hello kitty bukan baharu kepada Diana kerana sebelum koci moci, beliau pernah melakukan hal yang sama ke atas kek, kuih pau dan kuih bulan.
“Sambutan paling bagus mestilah koco moci mungkin sebab saiznya lebih kecil dan paling sesuai, ramai pula yang jatuh cinta.
Sebelum Ramadan ramai yang menempah untuk dihidangkan semasa jamuan hari jadi anak-anak, jamuan sekolah, pertunangan atau majlis-majlis santai.
“Saya tidak mengikuti mana-mana kelas masakan atau mempunyai guru tertentu namun pernah mengikuti kursus makanan sejuk beku di Pusat Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER , Pasir Mas, Kelantan,”ujarnya.
Gara-gara trending di media sosial, Diana mengakui agak terkejut dengan sambutan hangat dan mendadak daripada orang ramai.
“Mulanya saya buat suka-suka sebab sengaja mencari kelainan. Saya ambil gambar untuk kenangan kemudian letak di media sosial Facebook tahun 2021. Saya agak terkejut kerana orang ramai mula menempah dalam jumlah yang agak banyak.
“Disebabkan saya bekerja sendiri jadi ambil tempahan yang termampu sahaja
daripada pelanggan yang berhampiran. Satu bekas terdapat 12 biji koci moci dalam bentuk sejuk beku dengan harga antara RM15 hingga RM18 sebekas mengikut bentuknya.
Bercita-cita memajukan perniagaan dalam bentuk fizikal dan diberi nama DDiana, beliau mahu menempatkan kesemua hasil produk keluarannnya termasuk kek, brownies, cream puff dan lutchut iaitu sejenis pemanis mulut diperbuat daripada kacang hijau dan berbentuk buah-buahan, berasal dari Thailand.
Buat masa sekarang, sempena bulan puasa koci moci Diana dihentikan dahulu untuk memberi laluan kepada tempahan biskut raya.
“Tunggu selepas hari raya nanti, saya buka semua tempahan koci moci dan bercadang mempelbagaikan intinya kerana sudah ada permintaan,” katanya. – nasionalkini.my