KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan pihaknya memperakui satu produk sarung kaki yang didakwa mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan.
KKM dalam satu kenyataan berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama KKM untuk mengelirukan orang ramai.
“Mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat palsu berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“KKM mengambil perhatian serius terhadap penyebaran maklumat palsu yang tular di media sosial baru-baru ini berkaitan stoking yang mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan.
“Pihak terlibat menyatakan bahawa ‘KKM berjanji untuk membayar balik jika ia tidak berkesan’, ” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, orang ramai diminta berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran produk yang boleh menarik minat serta emosi dengan menyemak fakta dan maklumat di platform yang dipercayai. – nasionalkini.my