BALIK PULAU, 18 Julai – Siasatan dalaman berhubung kematian Dea Maisarah Bada, 10, yang didakwa meninggal dunia akibat kecuaian pihak hospital di Selangor adalah prosedur biasa.
Berita Harian melaporkan, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, siasatan dalaman itu adalah bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kejadian menimpa Dea Maisarah.
“Seperti saya sebutkan bahawa perkara ini (kematian Dea Maisarah) sudah diserah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan kita dinasihatkan supaya tidak beri sebarang komen sehingga siasatan selesai.
“Daripada segi siasatan dalaman pula, ia adalah prosedur biasa kerana setiap aduan yang diterima, kita mesti jalankan siasatan,” katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Zaliha meluluskan peruntukan tambahan RM200,000 bagi menaik taraf bangunan Jabatan Kecemasan lama hospital berkenaan untuk digunakan sebagai Unit Rehabilitasi dan Klinik Dietatik serta kemudahan lain yang berkaitan.
Pada Ahad lalu media melaporkan, KKM masih menunggu laporan polis berhubung kematian Dea Maisarah yang meninggal dunia didakwa akibat kecuaian pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, baru-baru ini. – nasionalkini.my