KUALA LUMPUR, 3 Mei – Satu keluarga Malaysia yang terperangkap di Sudan berjaya diselamatkan dan kini dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Sudan.
Wisma Putra memaklumkan usaha membawa mereka keluar keluarga yang terdiri daripada seorang ibu dan dua anak dikendalikan oleh Taskforce Ops Sudan dan mereka dijangka tiba ke destinasi itu pada hari ini.
Terdahulu keluarga berkenaan tidak berdaftar dengan kedutaan Malaysia dan maklumat mengenai mereka diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, 30 April lalu.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan sedang memohon bantuan Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya mereka dapat menaiki kapal untuk dibawa keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa terdekat.
Selain itu, dua rakyat Malaysia yang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah itu tidak terjejas teruk.
Kedua-dua mereka terdiri Mejar Zazalina Ghazali dan Lt Kdr Naadifarin Che Kamaruddin dan jika keadaan memerlukan, proses membawa mereka akan dikendalikan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan Malaysia telah berjaya membawa pulang 30 orang rakyatnya ke tanah air menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV834) pada 28 April lalu.- nasionalkini.my