KUALA LUMPUR, 3 Mei – Rundingan agihan kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah masih diteruskan dan akan melalui beberapa siri perbincangan lagi.
Proses berkenaan memerlukan masa untuk mencapai kesepakatan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar .
“Pihak kami telah mengadakan perbincangan pada kali pertama dan akan meneruskan beberapa lagi rundingan sebelum memuktamadkan.
“Jadi kita memerlukan masa untuk menyelesaikan supaya dapat diagih secara adil dan saksama,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz menjelaskan rundingan berkenaan dilakukan secara tertutup dan dibuat secara perbincangan dalaman tanpa hebohan umum.
“ Kita tidak mahu proses rundingan tersebut diperbesarkan kepada awam dan situasi ini lebih terjamin,” katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi memaklumkan proses pengagihan kerusi di negeri itu sudah hampir selesai dan akan dimuktamad. – nasionalkini.my