Adnan Mohamad
SETIU, 3 Mei – Kira-kira 200 penduduk di sini bakal menunjukkan ‘kehebatan’ masing-masing pada pertandingan Wau Barat, yang berlangsung Jumaat ini.
Penganjurnya, Mohd Nazri Mohd Nor berkata, dia tidak menyangka sambutan yang diberikan penduduk setempat sangat menggalakkan dalam pertandingan yang julung kali diadakan.
Malah, pertandingan yang berlangsung selama dua hari berturut-turut memaksa pihaknya menolak banyak permohonan.
“Untuk pertandingan yang sulung ini kami terpaksa menghadkan kepada 200 peserta sahaja berikutan lokasi sangat terhad selain menjaga keselesaan peserta.
“Lebih 50 penyertaan terpaksa ditolak berikutan bimbang tidak mampu mengawal keadaan,” katanya yang juga penduduk setempat.
Mohd Nazri menambah pelbagai hadiah menarik disediakan termasuk wang tunai bernilai RM1,000 kepada peserta yang menjuarai pertandingan tersebut.
Selain itu, pihak penganjur juga turut menyediakan hadiah tempat kedua bernilai RM300 manakala hadiah ketiga RM150 serta beberapa hadiah saguhati berbentuk hamper.
Bagaimanapun Mohd Nazri memberi jaminan untuk meneruskan pertandingan tersebut yang diyakini bukan sahaja memperkukuhkan nilai permainan tradisi yang semakin dilupakan.
“InsyaAllah, sekiranya program berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah, kami akan menganjurkan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.
Beliau juga berhasrat untuk memperluaskan pelbagai kategori dalam pertandingan wau yang akan datang mengikut kesesuaian keadaan.
Selain, Wau Barat beberapa jenis permainan wau seperti Wau Bulan, Wau Kucing dan lain-lain yang suatu ketika dahulu menjadi kegemaran masyarakat Melayu kini semakin dipinggir.
Malah, semakin dipinggirkan sehinggakan anak-anak muda hari ini tidak mengenali permainan tradisonal orang Melayu.
Katanya untuk permulaan ini, penganjur menetapkan bayaran yuran sebanyak RM15 kepada setiap peserta sebagai kos pendaftaran. – nasionalkini.my