GEORGETOWN, 5 Ogos – Oang ramai berpeluang untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan secara dalam talian menerusi aplikasi MyJPJ, tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, proses berkenaan dijangka memudahkan orang ramai membuat pembaharuan lesen dan cukai jalan yang mana sistem berkenaan dalam peringkat ujian.
“Kini kita sedang melakukan beberapa ujian membabitkan sistem itu supaya ia tidak akan menimbulkan kesulitan kepada orang ramai serta menampung kapasiti pengunjung apabila dilancarkan.
Kita akan laksanakan sistem ini mungkin dalam beberapa bulan lagi kerana objektif kita dalam konsep pendigitalan JPJ adalah bagi mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya masih memberi pilihan kepada orang ramai bagi memperbaharui lesen serta cukai jalan menerusi dalam talian (digital) atau fizikal kerana masih ramai yang belum dapat menyesuaikan diri menggunakan aplikasi MyJPJ bagi tujuan itu.
“Saya faham ini (pendigital JPJ) sudah tentu mengambil masa, dan setakat ini hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih menggunakan cukai jalan digital menerusi aplikasi MyJPJ.,” katanya lagi. – nasionalkini.my