KLANG, 26 Julai – Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan meluluskan cadangan naik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.
Berita Harian melaporkan, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, MPK akan menjadi bandar raya keempat di Selangor selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan ke-20 di Malaysia.
“Penaiktarafan ini bermaksud MPK mempunyai kekuatan kewangan yang mampan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti serta bertaraf antarabangsa untuk meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat di Klang.
“Saya yakin kelebihan naik taraf menjadi bandaraya akan menambah kemakmuran dan keselesaan yang dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya pada sidang media di Program Sentuhan Kasih Selangor di Dewan Hamzah, MPK, hari ini.
Kor Ming berkata, istiadat pengisytiharan MPK sebagai bandar raya akan dilaksanakan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – nasionalkini.my