in

Ingat dapat sihat, tapi dah setahun nyawa terancam – Penduduk

IMG 20230508 WA0114
Penduduk membuat bantahan susulan kejadian tanah runtuh akibat projek kedai pejabat tiga tingkat

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 8 Mei – “Ingatkan dulu beli rumah di sini dapat udara sihat ada pokok depan rumah, tapi sejak tahun lalu, celik sahaja mata saya nampak pemandangan yang mengancam nyawa.”

Itu nada kesal dikongsikan penduduk Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Zainon Baba, 52, yang kini diancam berisiko menjadi mangsa tanah runtuh susulan keadaan jalan di hadapan rumahnya mulai retak yang didakwa berpunca daripada pembangunan projek kedai pejabat tiga tingkat di situ.

IMG 20230508 WA0117
Zainon Baba

Menurutnya, episod hitam itu terpaksa dilalui bersama hampir 500 penduduk terutama di Jalan Jalan Sri Raya 7 (JSR 7) JSR 4 , sejak setahun yang lalu.

“Sejak duduk di sini 25 tahun dulu, saya tak terbayang terpaksa berdepan situasi hitam ini sedangkan sepatutnya kami mendapat udara segar di zon hijau ini.

“Tapi apa yang terjadi, nyawa kami kian terancam dan itu tak kira lagi pencemaran debu pasir yang terpaksa kami hadapi sejak setahun lalu apabila lantai rumah nak pijak pun penuh debu,” katanya.

Pandangan sama Abdul Rashid Alip, 57, apabila penduduk terpaksa menyaksikan kejadian runtuhan tanah buat kali ketiga di tebing dihadapan rumah mereka dua hari lalu.

IMG 20230508 WA0115
Abdul Rashid Alip

“Keadaan ini membuatkan kami tidak lena tidur malam dan berharap pihak berkuasa berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dapat memeriksa semula apakah pemaju menepati semua langkah keselamatan ditetapkan.

“Tolonglah jangan risikokan keselamatan kami yang sama sekali tidak menolak pembangunan, tapi biarlah ia memberi situasi yang tidak mengancam keselematan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ayer Keroh Height, Ismail Othman turut merayu campur tangan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam menyelesaikan isu itu.

IMG 20230508 WA0116
Ismail Othman

“Kepimpinan kerajaan sebelum ini memberitahu semua aspek keselamatan sudah dipatuhi namun kami masih tidak yakin kerana kejadian runtuhan tanah terus berlaku malah keretakan jalan di hadapan rumah juga semakin banyak.

“Jadi kami berharap Datuk Seri Ab Rauf dapat mendengar rayuan kami untuk menilai sendiri apakah tiada unsur lain yang menyebabkan bencana ini daripada terus berlaku,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230508 WA0103

Melaka perkasa pelancongan dengan Asia Barat

ahmad said

PRN: UMNO Terengganu tiada masalah kerjasama dengan PH