Oleh Luth Adwa
JOHOR BAHRU, 25 Jun – Kemajuan projek pembinaan Hospital Pasir Gudang di sini berada pada tahap 40.47 peratus setakat 15 Mei lalu, melangkaui jangkaan asal 27.96 peratus bagi tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, projek tersebut dijangka disiapkan dua bulan lebih awal dari jangkaan pada hujung 2024.
“Lebih baik jika ia dapat disiapkan lebih awal dan kita mempunyai masa untuk melengkapkan peralatan di hospital ini untuk beroperasi sepenuhnya pada 2025,” katanya dalam selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Perkakasan Bukan Perubatan di Wad Bunga Raya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.
Sumbangan tersebut diberikan oleh Buddha’s Light International Association kepada HSA berupa 300 meja pesakit dan lokar yang dianggarkan berjumlah RM300,000.
Tian Soon berkata, Hospital Pasir Gudang dijangka memberikan kemudahan perubatan kepada penduduk di kawasan sekitar, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Pembangunan Hospital Pasir Gudang di kawasan Bandar Seri Alam bermula pada September 2020 dan dilengkapi dengan 304 katil, lapan bilik bedah, 65 bilik konsultasi bagi rawatan pesakit luar, pusat rawatan harian dan 30 kerusi dialisis.
Hospital serba baharu itu juga dilengkapi dengan farmasi pandu lalu, 16 bilik bersalin, 34 kuarters jururawat dan hampir 1,000 ruang parkir. – nasionalkini.my