Oleh Luth Adwa
PONTIAN, 24 Julai – Anak sulung Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Iskandar Zulkarnain, 37, memaklumkan hasrat bapanya untuk meninggal dunia ketika masih berkhidmat untuk rakyat tercapai.
“Ini impian dia, dia memang pernah cakap kalau dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan sedang bekerja untuk rakyat.
“Sebagai anak, kami dah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat. Dia memang untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami dan selalu bersama rakyat.
“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat, sebelum ini dia juga pernah pesan agar jangan campur urusan kerjanya dan mengajar kami untuk berdikari dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Datin Seri Fatimah Taha, 60, berkata, suaminya adalah seorang individu yang begitu menjaga kesihatan dan pemakanannya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Tekanan darah dia ‘okay’, bacaan gula pun ‘okay’, cuma apa yang sebabkan pendarahan otak adalah mungkin kerana dia penat sangat agaknya. Syukurlah saya berada bersamanya ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat), saya tidak boleh bayangkan kalau dia berseorangan, bagaimana hendak bertahan dengan sawan dan sebagainya,” katanya dalam nada sebak.
Ibu kepada enam orang anak itu mengakui akan sentiasa merindui Allahyarham kerana beliau kebiasaan akan bersamanya dalam kebanyakan program yang dihadiri Ahli Parlimen Pulai tersebut.
“Sebelum ini, dia akan sentiasa balik selepas keluar tinggalkan saya untuk bekerja, tetapi sekarang dia tinggalkan saya dan tidak akan balik lagi,” katanya. – nasionalkini.my