KUALA LUMPUR, 7 Jun – Aktor, Hans Isaac bersama 15 individu lain yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing dilantik menganggotai Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di bawah Kementerian Belia Sukan, berkuat kuasa hari ini.
Menterinya, Hannah Yeoh memaklumkan, pelantikan tersebut bagi memastikan hala tuju PSM dalam pengurusan fasiliti yang berdaya mampan, mengamalkan tadbir urus korporat yang baik serta menyediakan perkhidmatan efisien dan profesional kepada semua pihak.
“Ia merangkumi dari segi pengurusan fasiliti yang berdaya mapan, mengamalkan tadbir urus korporat yang baik, menyediakan perkhidmatan yang efisien dan profesional kepada semua pihak.
“Serta merakyatkan fasiliti PSM untuk kegunaan orang awam dalam mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, lima daripada anggota perbadanan itu adalah wanita iaitu merangkumi 31.25 peratus keahlian, yang akan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi serta pengurusan kanan mencipta semula pendekatan terhadap industri pengurusan fasiliti untuk semua.
PSM bagi sesi 2023/2025 turut dianggotai individu dalam sektor korporat dan persatuan sukan antaranya Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John serta Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril. – nasionalkini.my