JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Seramai 28 individu termasuk 24 murid dan dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, di Ulu Tiram, di sini, mengalami simptom pening dan muntah dipercayai akibat pencemaran sisa kimia yang dibuang di sungai berhampiran, petang semalam.
Berita Harian melaporkan, Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Kvp Mohamed berkata, kesemua murid dan guru diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera dengan anggota bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.
“Pada jam 8 malam semalam, pasukan HAZMAT telah membuat kerja pengesanan di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet membabitkan tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di Ladang Orkid, namun hasil bacaan yang diterima di kedua-lokasi adalah normal.
“Proses pengesanan diteruskan tengah hari tadi dengan pasukan HAZMAT membuat pengesanan menggunakan lebih banyak peralatan termasuk sigis 2 (long range detector), gasmet, rad dan 4 gas meter di beberapa sektor yang ditetapkan.
“Selepas membuat penilaian di lokasi sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan ‘methyl mercaptan’.
“Pasukan HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tanki ‘ibc’ yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Salleh berkata, hasil penemuan itu operasi seterusnya diserahkan kepada JAS Johor untuk tindakan berkaitan.
“Kita juga berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan yang telah membantu membuat ‘plotting’ bagi penduduk yang mempunyai simptom, bagi menentukan keluasan sektor yang dibuat pengesanan,” katanya. – nasionalkini.my