in ,

Dulu ibu bantu gadai barang kemas, kini Hillmen Hairstudio buka tiga cawangan

WhatsApp Image 2023 07 08 at 3.25.42 PM
Muhammad Hilman (tengah) bersama ibu dan bapanya, Mohd Rosli Ismail, 56, pada perasmian pembukaan Hillmen Hairstudio cawangan ke tiga di MITC, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 8 Julai – Siapa sangka, restu seorang ibu menggadaikan barang kemas kepada anaknya semata-mata untuk membuka kedai gunting rambut enam tahun lalu akhirnya membawa rezeki yang lebih luas.

Fariza Ismail, 52, berkata, berkat sokongan dan kesabarannya, kini anak keempat daripada lapan beradik itu berjaya membuka studio rambut cawangan ke tiga atas jenamanya sendiri, Hillmen Hairstudio di MITC, Ayer Keroh, di sini.

Menurutnya, semuanya bermula apabila anaknya, Muhammad Hilman Mohd Rosli, 26, menyatakan hasrat untuk meneruskan minatnya dalam bidang dandanan rambut enam tahun lalu di rumah mereka di Marang, Terengganu.

“Waktu itu, saya nekad menggadaikan barang kemas mendapatkan RM10,000 sebagai modal permulaan kerana yakin dengan kesungguhan dan minatnya itu.

“Sebagai ibu, saya yakin setiap ringgit yang dikeluarkan, restu itu akan menjadi resepi kejayaan anak dan alhamdulillah, itulah yang terjadi sehingga Hilman berjaya hingga ke hari ini,” katanya.

Fariza ditemui media selepas majlis perasmian cawangan ketiga Hillmen Hairstudio oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shii Chin di MITC, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Sementara itu Hilman berkata, dia bersyukur kerana walaupun terpaksa merantau jauh untuk memcari rezeki, ia menghasilkan kejayaan sehingga mampu membuka peluang kepada 30 pekerja tempatan.

“Sememangnya saya amat meminati bidang gayaan rambut sejak di bangku sekolah lagi dan melihat perniagaan ini mampu memberikan pulangan yang lumayan.

“Sebab itu, di Hillmen, saya memperkenalkan konsep yang berbeza dengan kedai gunting rambut lain kerana saya mahukan imej korporat dan eksekutif pada harga mampu milik,” katanya.

Tambahnya, antara keunikan ditawarkan Hilmen yang turut mempunyai cawangan di Alor Gajah dan Sungai Udang ialah, penggaya rambut mengenakan pakaian seragam lengkap bertali leher bagi mewujudkan ‘mood’ premium kepada pelanggan.

“Malah, dekoasi dalaman kedai juga disesuaikan dengan konsep premium supaya pelanggan menikmati suasana berbeza dengan kedai gunting rambut lain.

“Harga ditawarkan pula adalah serendah RM15 hingga ratusan ringgit bergantung kepada perkhidmatan diberikan,” katanya sambil menambah kedai beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam. – nasionalkini.my.

2258321

PPPM perlu teroka perniagaan bahan kitar semula – Tunku Azizah

WhatsApp Image 2023 07 08 at 3.34.43 PM

Tanah Perkuburan Cik Siti Wan Kembang miliki 20 pintu