KAJANG, 6 Julai – Seorang wartawan yang sebelum ini pernah menjulang pelbagai anugerah termasuk penanugerahan tertinggi kewartawanan negara, Wan Noor Hayati Wan Alias kini diduga apabila disahkan menghidap penyakit radang paru-paru kronik.
Lebih menyedihkan, pemenang Anugerah Kajai 2014 itu turut terlantar bersendirian tanpa seorang penjaga di sebuah rumah sewa di Taman Kajang Utama, di sini.
Difahamkan, kesihatan Wan Noor Hayati atau lebih dikenali sebagai Wanti mula merosot sekitar bulan lalu selepas hampir setahun disahkan mengidap penyakit terbabit.
Beliau yang sebelum ini lincah membuat pelbagai pendedahan dalam pemberitaan dan aktiviti kemanusiaan juga dikatakan pernah dijangkiti COVID-19 pada awal tahun ini.
Ia diburukkan lagi dengan penyakit asma yang dihidapinya sejak kecil.
Kesan daripada penyakit itu, bekas wartawan Utusan Malaysia, Berita Harian dan Media Variasi itu dikatakan tidak dapat menguruskan diri dengan baik dan hanya mampu terbaring di ruang tamu rumahnya.
Difahamkan Wan Noor Hayati ketika ini yang tidak lagi mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada simpanan yang semakin kering, malah terpaksa menguruskan dirinya sendiri memandangkan ketiadaan saudara yang tinggal berdekatan.
Makan minumnya pula akan dihantar oleh seorang rakan yang tinggal berdekatan namun pada setiap masa, dia hanya bersendirian dan terbaring kaku di atas sofa di rumah sewanya itu.
Dalam satu mesej yang tular menyatakan, Wan Noor Hayati kini memerlukan sumbangan bagi membolehkan dia meneruskan rawatan di hospital
“Untuk makluman, Wanti tidak mempunyai penjaga setakat ini dan terpaksa menguruskan kehidupan bersendirian. Dia juga ketiadaan pendapatan selepas terpaksa berhenti kerja berikutan keadaan kesihatan yang merosot sejak kebelakangan ini,” kongsi kenyataan itu.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun RHB Bank Wan Noor Hayati, 16260700052758, kongsi kenyataan itu.
Bagi tujuan lawatan dan sumbangan, mereka yang mahu berbuat demikian boleh menghubungi rakannya terlebih dahulu iaitu Fathihah di talian 017-2878972.
Wanti sebelum ini memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Malaysia sebelum berhijrah ke Berita Harian dan Media Variasi .
Sepanjang kerjaya, dia pernah memenangani Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam kewartawanan Malaysia yang diberikan oleh Malaysian Press Institute.
Malah, wanita hebat yang kini berusia 43 tahun itu juga pernah dinobatkan Tokoh Wartawan Rakyat dengan gelaran Tun Puteh pada Mei 2016 oleh Sultan Pahang selain 22 lagi pengiktirafan daripada pelbagai pihak terhadap sumbangannya dalam dunia kewartawanan.
Lebih membanggakan, beliau juga pernah mengikuti Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP) di Amerika Syarikat dari 5 Mei hingga 26 Mei 2018. – nasionalkini.my