JOHOR BAHRU, 24 Mei – “Saya merasakan diri ini cukup bertuah apabila Sultan Johor berkenan berangkat ke kediaman saya dan sepanjang lawatan Baginda banyak menyampaikan nasihat serta kata-kata semangat.”
Itu luah Leftenan Kolonel (B) Mahadi Pungut apabila Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke kediamannya di Taman Bukit Tiram di sini hari ini.
Mahadi yang berusia 52 tahun berkhidmat selama hampir 31 tahun di dalam Angkatan Tentera Malaysia dengan jawatan terakhir yang disandang ialah Pegawai Memerintah Batalion 21 RAMD Ke-23.
Sultan Ibrahim juga berkenan meluangkan masa hampir sejam berbual mesra serta melawat Mahadi yang tidak dapat melihat sejak 2022 akibat penyakit kencing manis serta menjalani rawatan hemodialisis.
Mengimbas kembali kenangan, Mahadi berkata, arwah ayahnya Allahyarham Pungut Ahmad merupakan bekas pekerja Istana Johor yang berkhidmat selama hampir 20 tahun.
“Arwah ayah meninggal dunia pada tahun 2011. Walaupun saya kini tidak dapat melihat namun saya cukup bersyukur dan gembira dengan keberangkatan baginda.
“Saya merasakan diri ini cukup bertuah apabil Sultan Johor berkenan berangkat ke kediaman saya dan sepanjang lawatan baginda banyak menyampaikan nasihat serta kata-kata semangat,” katanya dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim hari ini.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan buah tangan kepada Mahadi. – nasionalkini.my