KUALA LUMPUR, 26 Jun – MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota , Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman sebagai pengerusi bukan eksekutif baharunya berkuat kuasa 22 Jun.
MyHSR Corp dalam satu kenyataan berkata, Fauzi akan memikul peranan penting dalam merealisasikan matlamat kerajaan untuk menswastakan projek itu.
“Dengan kelayakan dalam bidang kejuruteraan dan telah berkhidmat dalam lembaga pengarah pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta, Fauzi akan memberikan bimbingan dan sokongan strategik kepada lembaga pengarah.
“Ini bagi memastikan MyHSR Corp memenuhi aspirasi kerajaan untuk menswastakan sepenuhnya projek HSR melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI),” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.
Fauzi yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan perlombongan dari Imperial College of Science and Technology, University of London pernah pernah berkhidmat sebagai jurutera di beberapa entiti kerajaan dan swasta sebelum ini termasuk pengarah di Malaysia Rail Link Sdn Bhd dari 2018 hingga 2021. – nasionalkini.my