OLEH AD Zafir
KUANTAN, 26 Jun – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berhasrat menggunakan platform pembayaran QR Code bagi pembayaran zakat fitrah, tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, seramai 934 amil yang dilantik akan diberi taklimat dan latihan sebelum kaedah tersebut dimulakan.
“Pihak kami cuba untuk menggunakan QR code ini supaya keselamatan duit kutipan zakat mereka itu lebih terjamin.
“Sebelum ini pun tidak timbul masalah dengan duit dalam pegangan mereka dan kita pun tak pernah terima laporan berkaitan kehilangan atau sebagainya.
“Kita bercadang untuk tingkatkan dan tambah cara pembayaran kerana merasakan perlu mengikut peredaran zaman dan kebanyakan malahan di negeri lain sudah pun menggunakan cara demikian,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Khidmat Setia Amil Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Anugerah tersebut diadakan bagi menghargai jasa kira-kira 35 amil yang telah berkhidmat antara 30 hingga 45 tahun di seluruh negeri ini.
Penerima anugerah menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang.
Dalam pada itu, Dr Asmadi berkata, tugas-tugas amil di negeri ini juga akan diperluaskan.
Jelasnya, peranan mereka akan dikembangkan lagi dalam membantu pihak MUIP mendekati pihak asnaf.
“Amil juga akan membantu kami mengenalpasti golongan fakir di negeri ini.
“Ada di antara mereka dilihat lebih dekat dengan masyarakat dan dengan itu dapat membantu pihak MUIP agar golomgan tersebut tidak ada keciciran dalam menerima bantuan,” katanya. – nasionalkini.my