Oleh Luth Adwa
PAGOH, 6 Julai – Dua beradik, Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, 4, berdepan detik cemas apabila dicampak oleh bapanya, Zamirul Suahimi, 30, bagi menyelamatkan mereka dalam kejadian kebakaran di rumah kedai di Lenga, Bukit Kepong, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Zamirul bertindak pantas mencampak dua anak lelakinya dan disambut dua pekerja kilang yang menunggu van untuk ke tempat kerja.
Zamirul selepas itu terjun bagi menyelamatkan dirinya dan mengalami kecederaan di tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata dan mulut.
Isteri Zamirul, S’biha Bahari, 39, berkata, ketika menghubungi suaminya, panggilan dijawab dua pekerja kilang terbabit yang memaklumkan kedai makan milik pasangan itu terbakar.
“Suami dan anak tidur di kedai kerana dia akan masak juadah pagi. Saya pula tidur di rumah ibu tidak jauh dari kedai makan. Asap itu muncul dari kedai makan bersebelahan,” katanya di sini hari ini.
S’biha berkata, ekoran kecederaan dialami, suaminya dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Pagoh, Penolong Penguasa Mohd Fadli Ismail, berkata mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 pagi.
Menurutnya, seramai 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Labis, Bukit Gambir dan Bandar Baru memadam kebakaran.
“Kebakaran itu memusnahkan 10 buah rumah kedai,” katanya. – nasionalkini.my