KUALA LUMPUR 28 April – Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang terjejas dengan insiden tanah runtuh selasa lepas, dijangka dapat dibuka dan digunakan semula pada 18 Mei depan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi akaun Facebooknya berkata, pembukaan semula kawasan berkenaan adalah dalam tempoh masa tiga minggu selepas bekalan elektrik dan air serta sistem kumbahan dipulihkan.
“Berdasarkan penerangan yang telah diberikan oleh Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya dan juga pasukan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada saya,
“Pembukaan semula kawasan itu akan dibuat selepas bekalan elektrik dan air serta sistem kumbahan dipulihkan, selain laluan sementara siap dibina.
“Tempoh tiga minggu itu diperlukan bagi membolehkan kerja sementara dilaksanakan, antaranya pemasangan kepingan terpal (tarpaulin sheet) ke atas permukaan cerun terdedah yang bermula pada 26 April.
“Pemasangan besi penahan runtuhan tebing (sheet pile) dan pembinaan laluan akses sementara selama dua minggu bermula 28 April hingga 12 Mei,” menurut catatan itu.
Alexander menambah, kerja pembaikan kekal dijangka mengambil masa maksimum selama dua tahun yang melibatkan kerja ukur, kajian penyiasatan tapak (SI), proses perolehan dan kerja pembinaan selama 12 bulan.
“Saya minta kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.”ujarnya. – nasionalkini.my