KUALA LUMPUR 28 April – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyeru orang ramai supaya tidak mengambil langkah berdiam diri dan menyembunyikan kes penagihan dadah yang berlaku di dalam rumah masing- masing.
Menurut AADK, tindakan itu akan membahayakan bukan sahaja keluarga, malah memberi kesan kepada kejiranan khususnya dalam aspek kesejahteraan dan keselamatan.

“Sehingga Mac 2023, secara keseluruhan seramai 70,000 orang klien sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) melalui Model i-Pulih AADK,” katanya.
Berdasarkan anggaran, setiap seorang penagih, terdapat empat hingga enam ahli keluarga yang sengsara kesan daripada penagihan dadah.
Daripada jumlah itu, kira-kira 3.3 juta rakyat Malaysia sengsara akibat aktiviti penagihan dadah.
“Ahli keluarga tidak harus berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan keluarga.

“Perkara itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
AADK menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penagih dadah di negara ini supaya mereka kekal pulih daripada penagihan dadah yang dilaksanakan di 28 fasiliti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara.
Program rawatan dan pemulihan juga dilaksanakan oleh Pegawai AADK di 109 Pejabat AADK Daerah bagi memudahkan akses perkhidmatan rawat pulih kepada masyarakat yang memerlukan.
Sebelum ini, media melaporkan kisah Isteri Penagih Sukar Tuntut Cerai hanya kerana berasa malu dan enggan untuk membuat laporan berkenaan kes penagihan dadah melibatkan suaminya. – nasionalkini.my