OLEH: Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 6 Mei – Bantuan dari segi Logistik dan keanggotaan, diberi keutamaan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk berdepan dengan sebarang bencana di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya sentiasa bersiap-siaga termasuk bencana fenomena El-Nino dan jangkaan gempa bumi yang semakin tular.
Menurutnya, susulan itu, latihan berterusan diadakan bagi memantapkan lagi tatacara bantuan yang akan diberikan nanti.
“Segala pengoperasian tersebut dilaksanakan selepas menerima arahan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Kami sebenarnya pertahanan awam ini, bersedia di belakang NADMA dan kerajaan negeri. NADMA telah diberikan tugas untuk memberikan apa-apa arahan, jika berlaku bencana.
“Namun, kami diperingkat operasi sentiasa mengadakan latihan berterusan sebagai persediaan yang lebih mantap dan pengarah negeri juga sudah diberikan tugasan serta arahan supaya sentiasa bersiap sedia termasuk (perkara) tular iaitu Malaysia akan mengalami gempa bumi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Latihan Pemantapan Pre-Hospital Care Zon Pantai Timur 2023 Dan Penyerahan Watikah di Auditorium Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA), di sini, hari ini.
Seramai 104 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota APM BAGI Zon Timur Yang terlibat didedahkan dengan latihan amali serta praktikal oleh pegawai-pegawai terlatih.
Mengulas lanjut, kata Aminurrahim,
pihak APM akan melengkapkan ilmu kemahiran khususnya membabitkan perubatan kepada kira-kira 12,000 anggotanya seluruh negara.
Jelasnya, latihan ilmu perubatan itu nanti akan diperkasa bukan sahaja membabitkan anggota malam termasuk sukarelawan Pertahanan Awam bagi mengoptimumkan perkhidmatan mereka.
“Ini membolehkan mereka melaksanakan tugas-tugas menyelamat, perlindungan dan khidmat kemanusiaan dari sebarang ancaman musuh, bencana serta kecemasan,” katanya.
Terdahulu, melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mendedahkan berkemungkinan tersdapat kebarangkalian berlaku gempa bumi berdasarkan kepada bukti empirikal.
Selain itu, terdapat juga laporan akhbar berkaitan Fenomena El Nino yang dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya, kering dan panas. nasionalkini.my